Permintaan cacing di pasaran semakin tinggi

Berita Harian: Permintaan cacing di pasaran semakin tinggi
Tekno Tani: Permintaan cacing di pasaran semakin tinggi

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan
Berita Harian, 11 Apr 2008

RAMAI beranggapan cacing tanah adalah sejenis haiwan yang bukan saja menggelikan, malah cuma sesuai dijadikan makanan burung dan umpan ikan.

Bagaimanapun, tanggapan mereka dibuktikan salah oleh pengusaha cacing tanah, Azlinda Ros Abdul Aziz, 35, apabila menjadikannya sebagai sumber yang dapat menjana pendapatan lumayan.

Apa tidaknya, cacing tanah mempunyai nutrien dan protein lebih tinggi berbanding kacang soya dan mampu dijadikan baja berkualiti serta sebagai bahan dalam penghasilan kosmetik.

Berdasarkan hakikat itu, Azlinda dengan bermodalkan RM50,000, bertekad memulakan perniagaan penternakan cacing tanah secara kecil-kecilan pada 2000, mendirikan bangsal serta membeli peralatan.

Selepas 2006, perniagaannya berkembang maju berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai dan syarikat pertanian yang ingin menternaknya serta permintaan syarikat kosmetik bagi kegunaan produknya itu.

Kini ibu tunggal dengan dua anak itu mampu tersenyum bangga kerana beliau berjaya menubuhkan syarikat sendiri, AZR Agro Centre di Banting, Selangor dan bergelar usahawan muda bergelar pengarah urusan.

Berkelulusan dalam bidang Biologi Alam Sekitar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Azlinda berkata, cacing tanah mempunyai keistimewaannya tersendiri antaranya dapat menghasilkan baja dengan 17 nutrien yang sangat baik untuk penanaman tumbuhan dan produk kosmetik.

“Bagi pesawah padi misalnya, mereka hanya memperoleh tujuh tan metrik jika menggunakan baja biasa, tetapi dengan penggunaan baja dicampur cacing tanah, mereka mampu memperoleh sehingga 10 tan metrik.

“Dalam bidang kosmetik pula, protein yang ada dalam cacing tanah boleh menambahkan kualiti produk terbabit dan dapat tahan lebih lama,” katanya.

Azlinda berkata, cacing tanah tidak memerlukan belanja yang besar untuk diternak kerana ia hanya makan jerami padi yang kebiasaannya dibuang.

Bagaimanapun, katanya, cacing tanah mempunyai banyak musuh, terutama ayam serta burung yang menjadikannya sumber makanan dan kerana itu, ia perlu dijaga rapi.

Beliau berkata, bidang penternakan cacing tanah belum dikenali secara komersial dan Selangor adalah satu-satunya negeri yang mengiktiraf kepentingannya.

Sehubungan itu, kata beliau, syarikatnya membuka peluang kepada orang ramai terutama masyarakat Melayu untuk turut serta dalam menternak cacing tanah bagi mendapatkan pendapatan sampingan.

“Individu terutama suri rumah digalakkan menceburi bidang ini. Apa yang perlu dilakukan mereka ialah hanya membeli cacing tanah dan menternaknya sebelum ia dibeli semula pihak syarikat.

“Harga yang dikenakan ialah RM450 sekilogram dan selepas mereka menternaknya sehingga tempoh matang kira-kira enam bulan, syarikat ini akan membelinya semula dengan harga satu per empat daripada harga pasaran,” katanya.

Azlinda berkata, syarikatnya sedar ada individu berminat menceburinya, tetapi terpaksa melupakan hasrat mereka kerana tidak mempunyai modal mencukupi.

Bagi membantu mereka mengatasi masalah itu, kata beliau, syarikatnya sedia membantu mereka mendapatkan modal dengan cara mengadakan seminar serta menjemput pegawai bank bagi meyakinkan pihak bank terbabit mengenai potensi perniagaan itu.

Azlinda berkata, syarikatnya biasa menganjur seminar dalam tempoh dua bulan sekali bagi memberi peluang kepada peserta mengetahui segala selok-belok bidang itu termasuk cara pembelian, penjagaan, penjualan dan kaedah mendapatkan keuntungan.

AZR Agro Centre menyediakan perkhidmatan menjual, membeli, mengedar, membekal, memasarkan, memborong, memproses, import, eksport dan khidmat nasihat berkenaan pertanian serta industri asas tani.

Usaha syarikat itu selaras saranan kerajaan yang mahu menukarkan penggunaan baja kimia kepada baja organik menjelang 2010 berikutan kos penghasilannya yang lebih murah dan tidak mencemarkan alam.