Ternak cacing Di Melaka


Lintah Dan Cacing Harus Untuk Perubatan Dan Kosmetik

Sember : http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3110

Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-81 pada 31 Mac 2007 telah memutuskan bahawa hukum menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan kosmetik adalah diharuskan. Berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah diharuskan oleh Islam.

Muzakarah kali ini juga turut memutuskan bahawa buat masa ini belum ada keperluan untuk menggunaan satelit bagi mencerap hilal dalam menentukan bulan-bulan qamariah khususnya Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah memandangkan kaedah hisab dan rukyah yang digunakan masih sesuai. Walaubagaimanapun untuk tujuan penyelidikan dan merakam pergerakan bulan penggunaan satelit adalah diharuskan.

Muzakarah kali ini turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Osman yang baru dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pahang berkuatkuasa pada 15 Disember 2007 yang lalu dan Jawatankuasa juga mengalu-alukan kehadiran kembali Sahibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi yang telah dilantik semula sebagai Mufti Negeri Sarawak.

Sebanyak empat(4) kertas kerja telah dibincangkan pada muzakarah kali ini dan juga taklimat daripada Prof. Dr. Zhari bin Ismail, pakar dalam bidang sains farmasi Universiti Sains Malaysia. Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa perpaduan dan kesatuan umat Islam amat penting dan beliau berharap semua ahli Jawatankuasa dapat sama-sama membimbing dan mendidik masyarakat khususnya umat Islam supaya memberi keutamaan kepada kepentingan dan kedaulatan ummah dan meninggalkan polemik serta isu-isu yang boleh menghalang dan melemahkan perpaduan umat Islam.