Cacing jana pendapatan lumayan

Utusan Malaysia: Cacing jana pendapatan lumayan
Utusan Malaysia, 6 Feb 2008

SHAH ALAM - Usahawan tani di Selangor digalak menceburi bidang ternakan cacing secara komersial kerana ia mampu menjana pendapatan bulanan yang lumayan.

Pengarah Pertanian Selangor, Noorazimah Taharim berkata, ini kerana cacing kini digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, antara kegunaan cacing ialah sebagai ejen penguraian bahan buangan industri untuk dijadikan baja organik, pemusnah sampah organik dan bahan campuran dalam makanan ternakan serta pembuatan kosmetik.

''Sebagai galakan, kerajaan Selangor menyediakan peruntukan sebanyak RM14 juta dalam sektor pertanian termasuk kegiatan penternakan cacing.

''Ia bertujuan membolehkan lebih ramai petani atau usahawan bumiputera menceburi bidang ini selain mengelakkan penggunaan bahan kimia dalam pembuatan baja," katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pertanian, AZR Agro Centre, Mustafa Abdul Wahab berkata, kegiatan penternakan cacing hanya memerlukan modal yang kecil iaitu RM450 bagi sekilogram benih cacing selain kos penyediaan kandang mengikut keluasan.


Menurutnya, para petani yang berminat boleh memperoleh benih cacing itu daripada syarikatnya di samping mendapatkan khidmat bimbingan.

"Penternakan cacing pada dasarnya sangat mudah kerana ia dapat memanfaatkan bahan buangan yang sedia ada untuk kegunaan tempat pembiakan atau makanan cacing selain tidak mempunyai risiko jangkitan penyakit.

''Setakat ini, pihak kami berjaya menghasilkan seramai 30 usahawan bumiputera dalam kegiatan penternakan cacing secara komersial," katanya.

Dari segi pemasaran pula, Mustafa menjelaskan, para petani yang telah mengeluarkan hasil seperti baja organik boleh menjual kepada syarikatnya atau mana-mana ejen pemasaran yang dipilih sendiri.

Kata beliau, pihaknya sedia membantu mana-mana individu yang berminat.